Liverpool tersentak

Liverpool, England: Minit ketiga masa kecederaan setiap babak perlawanan menghasilkan dua gol bermakna buat Chelsea yang menamatkan catatan 11 kemenangan berturut-turut Liverpool selepas menang 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, malam tadi.

Demba Ba menyumbat gol pertama pada masa kecederaan babak pertama sebelum pemain gantian Willian mudah menolak masuk gol kedua, juga pada masa kecederaan babak kedua.


Kemenangan Chelsea itu sekali gus merencatkan sedikit usaha pendahulu liga Liverpool yang mengimpikan kejuaraan Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.

 Liverpool bagaimanapun masih unggul di puncak Liga Perdana dengan 80 mata selepas 36 perlawanan manakala Chelsea di tangga kedua, dua mata ketinggalan kepada kelab Merseyside itu.


Kesilapan kapten Reds, Steven Gerrard yang terjatuh ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Ba meluru ke arah pintu gol sebelum mengelirukan penjaga gol Simon Mignolet dengan tolakan tenang di celah kangkangnya bagi membuka tirai jaringan.


Anak buah Brendan Rodgers bagaimanapun lebih banyak menguasai perlawanan namun bintang utamanya Luis Suarez nyata gagal menembusi benteng utuh Chelsea yang menyaksikan penampilan sulung pertahanan Tomas Kalas.

Ketika Reds mengasak kubu Blues memburu gol penyamaan, dua pemain gantian Fernando Torres dan Willian berganding kemas apabila melakukan serangan balas pantas sekali gus menghasilkan gol kedua apabila Torres mudah mengumpan kepada Willian di sebelah kanan dengan hanya Mignolet perlu ditewaskan.


Sebelum ini, Ba turut menjadi wira ketika Chelsea mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila dia menyumbat gol penentu yang membolehkan kelab London itu mengatasi Paris St-Germain 2-0 dan layak menerusi kelebihan gol di gelanggang lawan. - Agensi
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget