SIBU: Para usahawan digesa merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh
kerajaan dalam membantu mengembangkan perniagaan mereka.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera)
Datuk Mohd Naroden Majais berkata kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit
untuk membantu usahawan khususnya Bumiputera mengembangkan perusahaan mereka.
“Justeru, para usahawan harus tahu akan bantuan-bantuan yang disediakan
kerajaan serta tahu akan maklumat-maklumat berkaitan untuk membantu mereka.
“Kita mempunyai banyak agensi yang ditubuhkan untuk membantu para usahawan
memperluas perusahaan mereka sama ada dari segi modal, pinjaman atau
peralatan,” katanya pada Majlis Penutupan Program Hari Terbuka Keusahawanan di
sini, petang semalam.
Hadir sama Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak Kameri
Affandi dan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan SME Corporation Malaysia
Meor Kamal Azhar.
Program itu anjuran Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Jabatan Ketua
Menteri dengan kerjasama SME Corporation Malaysia disertai kira-kira 120
usahawan kecil dan sederhana di bahagian ini.
Program itu memberi pendedahan dan maklumat kepada perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) mengenai kemudahan dan pembiayaan disediakan kerajaan bagi
membantu pembangunan PKS di Sarawak.
Mohd Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, program itu
merupakan sebahagian usaha kerajaan membudaya keusahawanan di kalangan
masyarakat terutama Bumiputera selain memberi maklumat mengenai peluang-peluang
serta bantuan disediakan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan pusat menyediakan peruntukan RM10 juta setahun dan
bantuan dari segi geran disediakan dalam program ‘Bumiputera Enterprise
Enchancement Programme’ (BEEP) bagi membantu para usahawan Bumiputera.
Katanya melalui program BEEP sehingga Mac tahun ini, sebanyak 36 permohonan
diluluskan seperti perolehan pensijilan 5S, pengiklanan dan promosi,
peningkatan keupayaan proses dan inovasi serta pembungkusan produk baharu
melibatkan geran keseluruhan RM2.73 juta.
“Ini bertujuan melahirkan PKS Bumiputera yang dinamik dan berdaya saing
melalui BEEP serta menyediakan bantuan kewangan daripada kerajaan pusat.
“Para usahawan negeri ini harus tahu dan peka dengan apa yang telah
kerajaan sediakan untuk mereka dan ubah sikap supaya rajin bertanya kepada
agensi berkenaan,”katanya.
Mohd Naroden memberitahu, di Sarawak terdapat lebih kurang 43,830 usahawan
atau syarikat berdaftar pada tahun lalu dan daripada jumlah tersebut 80 peratus
terdiri usahawan mikro dan kotej.
Post a Comment