Anggota Parlimen DAP Nafi Parti Guna Isu Hudud Tolak Kerjasama PAS

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Beberapa anggota Parlimen DAP, Rabu menafikan dakwaan bahawa parti itu menipu rakyat dengan menggunakan isu hudud untuk menolak kerjasama PAS dalam pakatan pembangkang.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata kenyataan yang mendakwa isu itu adalah agenda DAP untuk mengeluarkan PAS, atau tidak lagi 'mengiktiraf' parti itu (PAS) dalam pakatan pembangkang adalah tidak benar, jauh sekali untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami tidak cuba mempengaruhi sesiapa dalam parti. Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sebulat suara menetapkan bahawa pendirian semua parti komponen pakatan pembangkang harus berpegang kepada semangat dasar bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR (Pakatan Rakyat)," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Zairil berkata apa yang sedang berlaku ketika ini ialah PAS sendiri yang berpaling tadah daripada dasar pendirian dalam pakatan pembangkang.

"Semuanya jelas seperti yang ada dalam kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, iaitu kami tidak boleh bekerjasama dengan Presiden PAS seperti (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang yang bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah," katanya.

Lim, Selasa meminta Abdul Hadi keluar daripada pakatan pembangkang jika anggota Parlimen Marang itu mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang berkaitan pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat dan mendakwa beliau (Abdul Hadi) mengkhianati pakatan itu.

Sementara itu, anggota Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata PAS perlu membuat pendirian yang tetap tentang hala tuju perjuangan parti itu dalam komponen pakatan pembangkang.

"Kami telah mengisytiharkan amat sukar untuk bekerja dengan Abdul Hadi pada tahap sekarang. Jadi ahli-ahli PAS perlu membuat keputusan yang mana satu keutamaan, sama ada pakatan atau mereka. Saya fikir kenyataan Guan Eng sangat jelas," katanya.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pada Isnin mengesahkan Abdul Hadi telah mengemukakan notis usul berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud, yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak, selepas 44 anggota DUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.

--BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget