Berani lakukan penambahbaikan diri: Fadillah

KUCHING: Golongan muda perlu berani melakukan penambahbaikan dalam diri masing-masing untuk memastikan mereka dapat terus bersaing dalam kehidupan yang kian mencabar.

Untuk itu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, kreativiti dan inovasi merupakan perkara yang perlu diberi penekanan rapi bagi menghasilkan kerja berkualiti.

“Sekarang kita tidak sepatutnya hanya duduk diam sebaliknya perlu berusaha untuk melakukan penambahbaikan dalam kehidupan.
“Kita perlu ada sifat berinovasi dalam diri untuk menjadi orang yang mampu bersaing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Inovasi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Berpusatkan Masjid/Penangguhan Program Lan Riadah di Masjid Darul Ibadah Kampung Semariang Lama, semalam.

Menurutnya, tanpa kreativiti dan inovasi mungkin sukar bagi generasi muda sekarang untuk berdepan dengan cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.

“Untuk berjaya kita bukan sahaja perlu ada ilmu, kemahiran dan sahsiah tetapi perlu juga memiliki kreativiti dan inovasi,” ujarnya.

Tambahnya, program inovasi yang dikendalikan JAIS merupakan langkah bijak untuk mendekatkan umat Islam dengan masjid.

“Pendekatan yang digunakan JAIS ini amat baik dan pada masa sama dapat menggalakkan umat Islam untuk pergi ke masjid,” jelasnya.

Program tersebut turut merangkumi pertandingan ‘street soccer,’ dart, catur, batu seremban dan karom dengan melibatkan 309 peserta.


Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget