Saya Sokong SUPP Dulu, Kini Dan Selamanya - PM

KUCHING: Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongan penuh beliau dan akan terus berdiri teguh bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dulu, kini dan selamanya.

Justeru beliau mahu ahli-ahli SUPP berjanji menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, SUPP akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan yang lebih besar kepada parti dan BN secara keseluruhannya.

Najib yang yakin SUPP mampu bangkit semula juga mahu ahli-ahli SUPP berjanji agar kembali bersatu di bawah barisan kepimpinan baharu parti yang akan ditentukan pada hari ini sempena Persidangan Delegasi Tritahunan (TDC) Ke-23.

“Dalam tempoh tiga tahun ini yang penuh dengan krisis, perbalahan, pergaduhan dan macam-macam lagi masalah, saya pasti anda semua dalam SUPP telah penat, saya juga penat dan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Ketua Menteri kita juga penat.

“Tetapi sebagai pengerusi BN saya sentiasa bersama SUPP kerana seorang pemimpin yang hebat diukur berdasarkan kehebatan parti yang didukungnya.

“Sebab itu ketika SUPP melalui tempoh yang hitam saya tidak pernah mahukan SUPP dibatalkan pendaftarannya dan seperti Adenan saya juga memberitahu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa SUPP mesti diteruskan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan SUPP Ke-23 di Dewan Saati Ibu Pejabat SUPP di sini semalam.

Mengulas mengenai persidangan kali ini, Najib berkata ia akan mencatat sejarah dalam perkembangan SUPP sebagai parti tertua di Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1959 dan kedua terbesar.

Malah beliau menyifatkan bahawa masa depan SUPP hari ini, esok dan seterusnya adalah terletak di tangan para perwakilan yang sama-sama hadir memberi sokongan kepada persidangan SUPP kali ini.

Persoalannya menurut Najib, adakah SUPP mampu menjadi parti terkuat dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Apa yang paling penting ketika ini ialah SUPP perlu mengembalikan sokongan rakyat Sarawak dan saya berharap esok (hari ini) apabila anda mempunyai presiden yang baharu anda akan berdiri teguh di belakang beliau.

“Pada lawatan saya ke Kuching seterusnya, saya tidak mahu lagi mendengar perkara yang tidak baik daripada anda semua. Apa yang saya mahu dengar cuma bunyi yang lembut dan sedap didengar.

“Saya mahu anda bangkit lebih kuat dan bersedia untuk berjuang demi BN dan pastikan SUPP memenangi kembali kerusi-kerusi yang diperuntukkan pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujar Najib.

Meskipun sedar bahawa ia adalah sukar namun Najib percaya dengan andanya kesatuan dan kesabaran segala rintangan dan cabaran mampu diatasi oleh mana-mana parti termasuk SUPP.

Apa yang penting ialah katanya, SUPP perlu mempunyai hala tuju yang spesifik yang dapat diguna pakai dalam berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat serta mampu menarik keyakinan rakyat untuk terus menyokong SUPP.

“Kami di sini adalah untuk memberi sokongan kepada anda. Sebab itu saya datang dari jauh untuk berada di sini.

“Ini adalah tanggungjawab saya dan saya harus menyokong anda dan pastikan kemenangan SUPP,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Negeri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin, Timbalan Presiden Datuk Seri Richard Riot Jaem, Setiausaha Agung SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, presiden-presiden parti komponen serta lain-lain. -Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget